Jumlah sebenar mangsa tragedi Batang Kali 92, bukan 94 orang — KP Selangor


  • 112
  • Khamis, 22 Dis 2022

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed di kawasan tanah runtuh berhampiran Father's Organic Farm, Batang Kali. — FAIHAN GHANI/The Star

KETUA Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan jumlah sebenar keseluruhan mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali adalah seramai 92 orang, bukannya 94 orang seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menurutnya, pihak berkuasa menentukan jumlah mangsa ialah seramai 92 orang selepas beberapa kali pemeriksaan dilakukan di ladang tersebut serta laporan polis berhubung kehilangan ahli keluarga.

“Terdapat pertindihan pendaftaran di ladang, sebab itu kita menerima jumlah awal mangsa seramai 94 orang.

“Kami sebenarnya telah menyedari kesilapan itu beberapa hari lalu tetapi tidak tergesa-gesa untuk mengumumkannya kerana perlu melakukan pemeriksaan menyeluruh.

"Kami berpuas hati dengan jumlah rasmi keseluruhan mangsa ialah 92 orang," katanya.

Dengan jumlah mangsa terkini yang dikemas kini, hanya seorang lagi yang masih hilang belum ditemui, katanya.

“Dengan empat mangsa terbaharu ditemui hari ini (Khamis), jumlah kematian tanah runtuh itu ialah seramai 30 orang manakala yang terselamat pula ialah 61 orang.

“Kami masih mencari seorang lagi mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki,” tambahnya.

Arjunaidi berkata, jumlah mangsa dikira keseluruhan seramai 92 orang melainkan terdapat mana-mana pihak yang tampil berhubung kehilangan ahli keluarga mereka di tapak tersebut.

“Setakat ini, kami belum menerima sebarang laporan polis baharu berhubung perkara itu,” tambahnya.

Bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Khamis, Arjunaidi berkata, ia telah dihentikan buat sementara berikutan cuaca hujan lebat.

“Kami akan berhenti buat sementara waktu sehingga cuaca kembali pulih sebelum operasi disambung semula.

“Kami perlu mengambil kira keselamatan anggota penyelamat,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram