Keluarga mempunyai anak istimewa terima bantuan khas kerajaan Selangor


  • Massa
  • Rabu, 21 Dis 2022

Dr Siti Mariah berkata, bantuan khas ANIS itu memberi manfaat kepada 1,500 penerima sejak tahun 2018.

KERAJAAN Selangor memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi perlaksanaan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) pada tahun ini.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, perlaksanaan bantuan khas itu bertujuan membantu ibu bapa dan penjaga anak istimewa untuk menampung kos pendidikan, terapi, peralatan dan ubat-ubatan.

Menurut beliau, secara keseluruhan, seramai 303 penerima bantuan kategori pendidikan dengan jumlah diperuntukkan sebanyak RM605,750 disalurkan setakat Disember ini.

"Seramai 69 penerima menerima bantuan kategori peralatan dan barangan menerusi peruntukan berjumlah RM 151,020," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Siti Mariah berkata, bantuan khas ANIS itu memberi manfaat kepada 1,500 penerima sejak tahun 2018.

Tambahnya lagi, sebahagian besar penerima bantuan merupakan pemohon subsidi bagi menampung yuran pembelajaran anak istimewa di Pusat Intervensi.

Beliau berkata, penubuhan Yayasan Insan Istimewa Selangor, sebuah anak syarikat khusus di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) telah diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2022 menunjukkan komitmen kerajaan negeri bagi memastikan kelangsungan program dan inisiatif ANIS yang lebih mapan.

"Menerusi Belanjawan Negeri 2022, Bantuan Khas ANIS dan pelbagai lagi bantuan lain di bawah Jabatan ANIS akan diselaraskan di bawah inisiatif terbaru kerajaan negeri iaitu kad ANIS," jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram