MALAYSIA memerlukan lebih ramai jurutera untuk kelangsungan pembangunan di negara ini memandangkan nisbah jurutera kepada populasi rakyat ketika ini hanya 1:170 berbanding negara maju lain, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau, yang merujuk maklumat daripada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), berkata ini kerana isu gaji permulaan profesion teknikal di negara ini yang agak rendah berbanding negara luar menjadi antara faktor utama golongan muda kurang berminat untuk menceburi profesion tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata BEM telah mewujudkan satu pasukan petugas untuk mengkaji gaji permulaan jurutera di Malaysia.
"Selain itu, usaha yang lebih agresif dan proaktif perlu direncanakan dengan melantik lebih ramai golongan profesion teknikal mengisi jawatan-jawatan strategik dan pembuat dasar di perkhidmatan awam.
"Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga disaran melibatkan kalangan profesional teknikal dalam tadbir urus syarikat seperti Ahli Lembaga Pengarah atau Ketua Pegawai Eksekutif,” katanya dalam rakaman ucapan perasmian Hari Profesion teknikal Negara (HPTN) 2022, pada Selasa.
Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman yang mewakili Nanta untuk acara perasmian.
Nanta berkata penguasaan teknologi menjadi pemangkin kepada pembangunan dan modenisasi sesebuah negara dengan golongan muda sebagai pewaris untuk menerajui negara pada masa hadapan.
Justeru, katanya adalah penting untuk negara memberi pendedahan berkaitan profesion teknikal kepada anak muda demi meneruskan legasi dalam landskap pembangunan negara, sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara berdaya maju dan membangun secara mapan dalam era Revolusi Industri 4.0.
Mengenai HPTN 2022, beliau berkata sambutan yang diadakan pada Disember setiap tahun itu menjadi antara wadah informasi untuk menyebar luas maklumat di samping memupuk minat golongan muda terhadap profesion teknikal.
Bertemakan ‘Mengungguli Teknologi Melonjak Pembangunan’, sambutan tahun ini mengambil kira transformasi penggunaan teknologi terkini memandangkan profesion teknikal memberikan sumbangan signifikan kepada kemajuan negara.
Pelbagai aktiviti akan dianjurkan sempena Sambutan HPTN 2022 antaranya adalah seperti berikut termasuk Bicara Selebriti Teknikal, pertandingan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), pertandingan eSukan (FIFA Sports) dan Larian Jurutera dengan kerjasama Lembaga Jurutera Malaysia.
Selain itu, ada juga aktiviti seperti Exploride (program berbasikal), pertandingan fotografi, kempen kesihatan, Legasi Infrastruktur 150 tahun Agensi Teknikal Negara dan pameran teknikal.
Sambutan HPTN turut dibantu oleh rakan strategik yang terdiri daripada beberapa Kementerian, agensi–agensi kerajaan, syarikat swasta, IPTA, IPTS dan juga selebriti teknikal yang turut sama menyumbang bakti di dalam menjayakan sambutan HPTN 2022.
Orang ramai boleh melayari laman web www.hptn.my dan media sosial HPTN di Facebook, Twitter dan Instagram untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan menyertai aktiviti sempena sambutan HPTN T022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram