Tragedi tanah runtuh Batang Kali: 3 warga Singapura ditemukan selamat, Ops SAR 12 lagi mangsa diteruskan


  • 112
  • Sabtu, 17 Dis 2022

Operasi SAR hari ini melibatkan penggunaan jentera berat dan jengkaut bagi mengalihkan tanah dan pokok besar yang tumbang. — Bernama

KEMENTERIAN Luar Wisma Putra mengesahkan tiga warga Singapura ditemukan selamat dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, awal pagi Jumaat.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, kementerian memaklumkan kerajaan Malaysia bertindak pantas dalam memastikan semua yang terjejas akibat tragedi itu diberi bantuan segera.

"Marilah kita semua berdoa untuk keselamatan mangsa yang terjejas dan mereka yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat," menurut kenyataan itu.

Wisma Putra turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam insiden tragis berkenaan.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku pada pukul 2.42 pagi Jumaat melibatkan 94 individu termasuk pekerja tapak perkhemahan.

Dalam pada itu, usaha mencari dan menyelamat kini masih diteruskan oleh pihak berkuasa yang ditugaskan dalam operasi tersebut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, operasi SAR pada Sabtu tertumpu kepada dua daripada tiga sektor kawasan pencarian melibatkan sektor B di kem Farmview dan sektor C berhampiran kem Riverside.

"Tumpuan diberi kepada dua kawasan dipercayai mangsa terperangkap iaitu di Farmview di sektor B dan Riverside di sektor C.

"Ia berdasarkan kepada lokasi mangsa terakhir ditemukan antara dua lokasi tersebut pada Jumaat.

"Operasi SAR hari ini juga melibatkan penggunaan jentera berat dan jengkaut bagi mengalihkan tanah dan pokok besar yang tumbang bersama aliran tanah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah, penggunaan empat jengkaut itu bergantung kepada keadaan cuaca dan tanah dalam operasi yang dijalankan.

Operasi hari ini melibatkan lebih 150 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Katanya, cabaran utama semalam dan hari ini adalah kestabilan runtuhan tanah berikutan masih terdapat aliran air dalam tanah serta kedudukan cerun 45 darjah serta ketebalan runtuhan tanah mencecah kedalaman 20 hingga 30 kaki bersamaan 6.1 hingga 9.1 meter.

"Tiada pergerakan tanah setakat ini dilaporkan, namun keadaan tanah masih terdapat aliran air dan tanah lembut dikhuatiri boleh menyebabkan gelinciran tanah dan mengancam keselamatan pasukan penyelamat,” katanya.

Insiden sekitar 2.42 pagi Jumaat, di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya yang melibatkan runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter.

Setakat tengah malam Jumaat, 12 orang dilaporkan masih hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram