Aktiviti rekreasi hutan simpan dilarang sementara serta-merta


  • Massa
  • Sabtu, 17 Dis 2022

Segala aktiviti rekreasi di hutan simpan Johor ditutup buat sementara waktu. — Gambar hiasan

AKTIVITI riadah diharamkan buat sementara waktu di semua hutan simpan kekal di Johor berikutan musim hujan.

Menurut notis yang dimuat naik di laman Facebook Jabatan Perhutanan Johor, larangan itu berkuat kuasa mulai Sabtu bersamaan 17 Disember sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Notis penutupan berkaitan larangan aktiviti rekreasi di hutan simpan Johor.

“Semua taman eko hutan, denai kembara dan laluan pacuan empat roda di hutan simpan kekal Johor akan ditutup kepada orang ramai bermula 17 Disember sehingga tarikh yang akan diumumkan kemudian.

"Penutupan ini adalah langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini atau kemalangan semasa musim hujan," tulis notis itu.

Ia menambah bahawa mereka yang gagal mematuhi ketetapan itu akan berdepan tindakan undang-undang di bawah Enakmen Akta Perhutanan Negara (Penggunaan) Johor 1985.

Terdahulu, angka korban tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, Selangor kini telah mencecah 21 orang.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan permulaan segera sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban.

Setakat pukul 7.10 malam (Jumaat), seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia manakala 12 lagi masih hilang dan operasi pencarian kini masih diteruskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram