Wujud persekitaran selamat atlet, KBS teliti Kod Sukan Selamat


  • Primer
  • Jumaat, 16 Dis 2022

Hannah (tiga dari kanan) bersama Tengku Amir (tiga dari kiri) ketika menghadiri Sambutan Gala Ulang Tahun Kelima SAY pada Khamis.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti Kod Sukan Selamat, bagi mewujudkan satu persekitaran atau ekosistem selamat buat atlet di negara ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kod tersebut antara lain turut menumpukan perlindungan kepada atlet yang berdepan masalah gangguan seksual, buli dan keganasan.

"Kami akan mengadakan consultation dengan stakeholders sebelum ia dilancarkan. Ini suatu keutamaan kepada KBS dan akan dipercepatkan. Buat masa ini, kami kena pastikan ada bajet dahulu untuk diluluskan pada tahun depan.

"Menteri KBS terdahulu pernah cadangkan Akta Sukan Selamat. Namun Akta Anti Gangguan Seksual baru sahaja diluluskan pada November tahun lepas.

"Semua perkara ini dibangkitkan ketika minggu kedua kami bermesyuarat," katanya kepada Majoriti.

file7o25h2yellk1cm2elar5 (1)

Hannah (kiri) bersama Tengku Amir ketika majlis Sambutan Gala Ulang Tahun Kelima SAY.

Beliau berkata demikian selepas majlis Sambutan Gala Ulang Tahun Kelima Selangor Youth Community (SAY) di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Turut hadir Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud; dan Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Nurul Azwa Rodzi.

Pada 6 Disember lalu, Hannah pada hari pertamanya sebagai Menteri Belia dan Sukan berkata, beliau akan menggunakan pengalaman menggubal Akta Anti Gangguan Seksual bagi memastikan keselamatan atlet.

Oktober lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) telah mempersiapkan Kod Sukan Selamat untuk dilaksanakan kepada semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) bermula Disember ini.

Ahmad Faizal berkata, kod itu yang merangkumi tatacara kelakuan bakal diguna pakai untuk mengendalikan aduan mengenai gangguan seksual di semua peringkat, termasuk pusat latihan sukan sebelum digantikan dengan Akta Sukan Selamat pada masa akan datang.

Tahun lalu, bekas perenang kebangsaan, Cindy Ong mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa gangguan seksual seorang jurulatih skuad renang negara ketika menyertai pertandingan di luar negara.

Beliau turut memberitahu, individu sama juga melakukan serangan sama terhadap sekurang-kurangnya 10 atlet.

Pendedahan sama turut dibuat atlet terjun negara, Pandelela Rinong yang mendakwa, beliau diganggu secara seksual oleh seorang bekas jurulatih, selain terpaksa bertahan dengan lawak lucah oleh individu tersebut selama tujuh tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram