[VIDEO] Ibu mati dikelar depan anak di Tawau rupanya mangsa samun, tak sempat jumpa keluarga


  • 112
  • Jumaat, 16 Dis 2022

Kanak-kanak malang itu ditemui berlumuran darah bersebelahan mayat ibunya dalam kejadian di Tawau, Sabah.

MISTERI video tular memaparkan seorang kanak-kanak perempuan menangis sambil berlumuran darah di sisi mayat seorang wanita dalam kejadian di Kampung Titingan, Tawau, Sabah pada Khamis akhirnya terjawab.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam apabila wanita terbabit dipercayai terlebih dulu disamun sebelum lehernya dikelar dan dibiarkan mati di hadapan sebuah bangunan terbiar.

Difahamkan, wanita berusia 30 tahun terbabit bukan warga tempatan dan dipercayai dalam perjalanan ke rumah ahli keluarganya yang terletak 300 meter dari rumah sewanya di Kampung Titingan.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan tersebut, penjenayah terbabit telah menyamun rantai leher dan subang yang dipakai mangsa.

"Leher mangsa dipercayai dikelar menggunakan objek tajam menyebabkan berlaku kecederaan dan pendarahan," katanya kepada Majoriti.

Sumber tersebut memberitahu, akibat kejadian, mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi.

"Kanak-kanak perempuan terbabit pula tidak mengalami kecederaan dan dipercayai anak kepada mangsa.

"Polis masih menjalankan siasatan dan usaha mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan," jelasnya.

Terdahulu, Majoriti pada Khamis melaporkan, tular video menyayat hati memaparkan seorang kanak-kanak perempuan menangis sambil berlumuran darah di sisi mayat seorang wanita.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Jenayah, kelar, bunuh, kesan, anak, berlumuran darah