KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan memberi tumpuan kepada tujuh teras bagi menambah baik sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, teras pertama melibatkan komunikasi antara kementerian dan sekolah yang lebih cekap serta telus.
"Bagi mengurangkan kesenjangan birokrasi dalam urusan guru serta murid, aduan atau cadangan boleh dikemukakan terus melalui pelbagai saluran rasmi yang disediakan KPM.
"Saya akan pastikan laporan berkaitan akan diambil tindakan," katanya ketika sidang media khas pada Khamis.
Kata Fadhlina, teras seterusnya melibatkan penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti.
"KPM yakin ia akan mewujudkan suasana harmoni yang akan menghindari gejala negatif seperti gangguan seksual, buli, ekstremisme, gengsterisme dan vandalisme.
"Teras ketiga pula memberi perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40 termasuk aspek malnutrisi, peranti dan ruang pembelajaran.
"Saya akan bekerjasama rapat dengan kementerian berkaitan bagi memastikan pelajar dapat dibantu dengan sewajarnya," jelasnya.
Tambah Fadhlina, seterusnya memberi perhatian terhadap isu keciciran pendidikan, masalah literasi dan numerasi supaya kesenjangan pendidikan yang wujud dapat dirapatkan.
"Kelima, memberi fokus kepada kebajikan guru kerana mereka adalah teras utama keberkesanan penyampaian pendidikan.
"Saya juga akan memberi tumpuan terhadap tekanan yang dihadapi guru disebabkan beban tugas dan berjauhan daripada pasangan," katanya.
Fadhlina memberitahu, tumpuan akan diberikan bagi usaha mengubah suai dan menaik taraf sekolah daif terutamanya di Sabah dan Sarawak.
"Teras terakhir ialah meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah. Kementerian akan membuat libat urus bersama agensi pusat bagi meningkatkan keupayaan pendidikan digital di institusi pendidikan di bawah KPM," katanya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram