'Kalau guna 'cable' tentu kalah PRU', biar rakyat nilai timbalan menteri ada hubungan keluarga tokoh politik


  • Politik
  • Sabtu, 10 Dis 2022

Dari kiri: Mohd Yusof, Hui Ying dan Ramkarpal antara tiga dilantik menjadi Timbalan Menteri.

SEMINGGU selepas jemaah menteri dalam Kabinet baharu diumumkan, kini giliran nama timbalan menteri menjadi tumpuan.

Pengumuman senarai timbalan menteri yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat sudah semestinya menimbulkan respons tidak kira daripada rakyat mahupun orang kenamaan.

Antara perkara dibangkitkan selepas pengumuman itu adalah lantikan tiga adik bekas menteri sebagai timbalan menteri.

file6nc0d7texag1a0c7omdz

Hui Ying (kanan) bersama abangnya, Guan Eng ketika hadir dalam satu majlis diadakan DAP.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying adalah anak kepada bekas pemimpin politik, Lim Kit Siang dan adik kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohd Yusof Apdal adalah adik kepada bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

file6h5hpagk8w5ft9cblzl

Gobind (kanan) dan adiknya, Ramkarpal.

Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh pula adalah adik kepada bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Pada masa sama, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib pula merupakan anak kepada gabenor Sarawak dan bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Ini kali ketiga Hanifah memegang jawatan Timbalan Menteri. Terdahulu, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Menteri Sains dan Teknologi, Datuk Arthur Joseph Kurup pula anak kepada ahli politik veteran Sabah, Tan Sri Joseph Kurup - dan pewaris kepada jawatan presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Segelintir pihak mempersoalkan sama ada kesemua timbalan menteri itu layak memegang jawatan berkenaan atau semata-mata disebabkan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin politik atau 'cable'.

file61l2alqgind7rar2mh4

Zainal Kling

Menafikan pelantikan itu disebabkan oleh 'cable', Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, kaitan politik memainkan peranan penting dalam pemilihan jawatan pemimpin.

Penganalisis politik itu berkata, hal ini kerana individu yang mempunyai hubungan keluarga atau persaudaraan dengan pemimpin politik lebih dikenali dari segi kelulusan, keupayaan dan kebolehan dalam sesuatu perkara.

"Oleh sebab itu, adik bekas menteri barangkali sudah dikenali orang politik. Ada di antara kita yang syak wasangka hubungan politik.

"Tapi kalau ada orang perkenalkan saudara-mara itu yang membuatkan seseorang dilantik kerana mereka lebih kenal kebolehan pemimpin terbabit," katanya kepada Majoriti.

download (3)

Sivamurugam Pandian

Sementara itu, Profesor Madya Dr Sivamurugam Pandian berkata, sekiranya ketiga-tiga timbalan menteri terbabit dilantik hanya melalui 'cable', sudah pasti mereka tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, penganalisis politik itu menegaskan, kelayakan menjadi wakil rakyat antara faktor mereka dipilih memegang jawatan timbalan menteri.

"Saya nampak kemampuan dan keupayaan mereka. Oleh itu, kita perlu beri mereka peluang supaya akhirnya nanti rakyat yang akan menilai dan nampak kemampuan mereka selepas dipilih pada pilihan raya.

"Tempoh yang boleh diberi itu saya tidak pasti tetapi, jika kita lihat rakyat sekarang ini mahu melihat keputusan cepat sama ada seseorang pemimpin itu mampu melaksanakan tugas yang diberi atau tidak," katanya.

Pada PRU15, ketiga-tiga timbalan menteri berkenaan menang di kawasan masing-masing dengan majoriti undi.

Hui Ying adalah Ahli Parlimen Tanjong dan menewaskan dua pencabarnya selepas meraih majoriti 28,754 undi.

1827638

Kedua-dua Mohd Yusof (kiri) dan Shafie bertanding pada PRU15.

Mohd Yusof memenangi kerusi Parlimen Lahad Datu dan meraih 27,116 undi, meninggalkan pencabarnya yang lain dengan majoriti undi sebanyak 4,376.

Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor menang dengan majoriti 63112 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram