Warga emas terperangkap dalam lori akibat banjir setinggi 1.2 meter di Kota Tinggi


  • 112
  • Rabu, 14 Dis 2022

Seorang warga emas berjaya diselamatkan oleh JBPM selepas terperangkap dalam banjir setinggi 1.2 meter di Kota Tinggi pada Rabu. — JBPM

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan seorang warga emas yang terperangkap di dalam lori akibat kejadian banjir kilat di jalan raya berhampiran Sungai Lebam, Penawar di Kota Tinggi, pada Rabu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I KUP Abd Rahim Abd Rani berkata, lelaki berusia 61 tahun itu diselamatkan sekitar pukul 7.52 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati seorang mangsa didapati terperangkap di dalam lori di bahagian muatan akibat banjir setinggi 1.2 meter.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menyelamatkan mangsa dengan menggunakan 'rescue rope' dan 'personal flotation device' (PFD) dan mangsa kini berada dalam keadaan selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Komander Operasi BBP Sebana Cove PBK II Noor Ikhson Shukor dalam kenyataan berasingan berkata, empat sekeluarga termasuk seorang warga emas yang terperangkap di dalam rumah mereka di Kampung Muhibbah, Tanjung Serindit, Kota Tinggi juga berjaya diselamatkan pasukan bomba.

Noor Ikhson berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.47 pagi sebelum pasukan termasuk sebuah 'light fire rescue tender' (LFRT) dan sebuah bot fiber digerakkan ke lokasi kejadian.

"Terdapat empat mangsa terperangkap di dalam rumah itu. PKO menyelamat dan memindahkan mangsa dengan menggunakan bot dan kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat," katanya sambil menambah kesemua mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Difahamkan, mangsa terdiri daripada seorang lelaki warga emas berusia 82 tahun, seorang lelaki berusia 56 tahun, seorang wanita berusia 54 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil berkata, dua PPS telah dibuka di Kota Tinggi yang menempatkan 15 keluarga setakat 11.30 pagi Rabu.

Beliau berkata, 12 keluarga dari Taman Desaru Utama dipindahkan ke Dewan Muafakat Taman Desaru Utama yang dibuka pada pukul 10 pagi manakala tiga keluarga dari Kampung Baru Sungai Mas pula ditempatkan di Dewan Kampung Baru Sungai Mas yang beroperasi sejak pukul 11 pagi.

Bagaimanapun beliau berkata, jumlah sebenar mangsa yang terlibat dalam kejadian banjir kilat itu sedang didaftarkan.

Menurut beliau, paras air di kawasan terjejas kini berada pada paras buku lali dan keadaan cuaca dilaporkan hujan renyai dan mendung di beberapa kawasan di daerah berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram