[VIDEO] Tauke kedai emas gaya John Wick, tembak penyamun cuba merompak


  • Benua
  • Selasa, 13 Dis 2022

Pemilik kedai emas berkenaan melepaskan satu das tembakan sekali gus menyebabkan pencuri untuk melarikan diri.

CUBAAN empat penjenayah merompak sebuah kedai emas gagal apabila salah seorang daripada mereka maut ditembak pemilik kedai berkenaan.

Kejadian rompakan yang berlaku pada pukul 12. 55 tengahari Jumaat lalu itu gagal selepas cubaan keempat-empat suspek sekadar mampu memotong besi Kedai Emas Yaowarat itu menggunakan gergaji automatik sebelum melarikan diri selepas perbuatan mereka disedari pemilik premis.

Pemilik kedai, Phisit Raphitphan berusia 41 tahun, pada awalnya melepaskan satu das tembakan sekali gus menyebabkan pencuri untuk melarikan diri dari tempat kejadian dengan tangan kosong.

Phisit kemudiannya melepaskan 4 das lagi tembakan dan tembakan terakhir mengenai salah seorang daripada suspek sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di badan.

Suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Somdet Prachao Taksin Maharat untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke sebuah lagi hospital di wilayah Phitsanulok.

Namun, beberapa media melaporkan bahawa suspek meninggal dunia di hospital.

Polis berjaya menahan seorang daripada tiga suspek yang melarikan diri dalam kejadian tersebut.

Polis berkata, dua lagi suspek dipercayai warganegara Burma dan kedua-duanya kemungkinan besar sudah melarikan diri ke negara asalnya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Selain itu, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek yang ditahan pernah terlibat dengan jenayah sama di sebuah kedai emas sekitar daerah Phop Phra pada 12 Februari lalu dan berjaya membawa lari bahan kemas bernilai RM22.85 (182 baht).

Dalam masa sama, pelatih pusat penembak yang juga anggota tentera Askar Diraja Thailand, Mejar Kitti Kerdphon berkata, pemilik kedai merupakan seorang yang terlatih dalam menggunakan senjata api.

Jelasnya, individu tersebut merupakan penggemar senjata dan sering melakukan latihan menembak di salah sebuah kompleks sejak lapan tahun lalu.

Hal itu dapat dibuktikan apabila Phisit pernah menyertai pertandingan menembak yang dianjurkan di daerah berkenaan.

Bagi seorang peguam terkenal, Decha Kittiwittayanan berkata, tindakan Phisit menggunakan senapang patah itu adalah tepat kerana perompak melakukan jenayah tersebut dalam jarak dekat.

Tidak cukup dengan itu, pengguna media sosial yang menyaksikan rakaman itu kagum dengan senapang patah gaya John Wick milik Phisit, yang dianggarkan bernilai lebih RM12,469 (100,000 baht). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram