[VIDEO] Suami luah rasa sedih, anak dalam kandungan mati angkara kecuaian pemandu lori


  • Massa
  • Isnin, 12 Dis 2022

Tangkap layar memaparkan kemalangan berlaki disebabkan sebuah lori yang membawa muatan berlebihan di Gerik, Perak baru-baru ini.

SEORANG lelaki meluahkan rasa sedih di media sosial selepas kecuaian pemandu lori membawa muatan berlebihan mengakibatkan kematian anaknya dalam kemalangan di Gerik, Perak baru-baru ini.

Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Ding Sheng Koh ketika meluahkan perkara itu di Facebook berkata, kejadian terbabit boleh dielakkan sekiranya syarikat dan pemandu lori mematuhi peraturan.

"Saya tidak dapat memaafkan kamu semua dan sehingga hari ini, tiada pihak yang menghubungi untuk meminta maaf atau bertanya khabar.

"Kejadian ini memusnahkan keluarga saya, setiap hari saya melihat isteri menangis melihat luka pada badan dan melihat gambar anak kami.

"Saya harap pihak syarikat boleh memberi penjelasan mengapa lori tersebut membawa muatan berlebihan," katanya.

Tambah Sheng Koh, akibat kejadian, isterinya mengalami kecederaan parah dan anaknya dalam kandungan tidak dapat diselamatkan.

"Saya difahamkan, pemandu lori melarikan diri sejurus kejadian namun telah ditahan ketika sekatan jalan raya di Jeli, Kelantan.

"Saya mengharapkan pemandu lori terbabit mendapat balasan sewajarnya selain syarikat lori terbabit menjelaskan secara terperinci mengenai situasi tersebut.

"Saya juga ingin memohon syarikat terbabit lebih bertanggungjawab dan tidak pentingkan diri sendiri sehingga mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya lain," jelasnya.

Terdahulu, kejadian berlaku pada 29 Oktober lalu di laluan Gerik, Perak yang menyebabkan seorang wanita parah manakala bayi dalam kandungan meninggal dunia.

Difahamkan pemandu lori terbabit telah ditahan pada hari yang sama dan Majoriti sedang mendapatkan polis untuk maklumat lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram