KESESAKAN luar biasa berlaku di pejabat permohonan pasport Jabatan Imigresen di Kuala Lumpur dan Putrajaya pada Isnin berpunca daripada penutupan pejabat-pejabat pasport di seluruh Selangor kerana cuti umum dan cuti sekolah.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud menasihatkan orang ramai mencari alternatif untuk memohon pasport di pejabat Imigresen yang terletak di luar Lembah Klang yang kurang sesak.
"Antara pejabat permohonan pasport berdekatan dan kurang kesesakan adalah di Seremban, Melaka, Cameron Highlands dan Raub di Pahang, Pengkalan Hulu (Perak), Mersing dan Kukup (Johor) serta Kangar, Perlis.
"Urusan permohonan pasport selepas ini, boleh dibuat di sekitar Kuala Langat dan Kuala Kubu Bharu, Selangor kerana dikenal pasti kurang sesak.
"Bagi mereka yang tidak mempunyai keperluan mendesak atau kecemasan, diminta menangguhkan dahulu urusan permohonan pasport dan memohon di luar waktu puncak,” katanya.
Khairul Dzaimee turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sikap menunggu hingga ke saat akhir dan perlu merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.
Jabatan Imigresen melalui aplikasi TikTok rasminya, memuat naik video berdurasi 51 saat memaparkan keadaan kesesakan luar biasa di pejabat permohonan pasport di Putrajaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
