Pembukaan sesi persekolahan 2023-2024 ditangguh seminggu pada Mac


  • Primer
  • Sabtu, 10 Dis 2022

Sesi persekolahan akan bermula pada 19 dan 20 Mac mengikut kumpulan yang ditetapkan.

SESI persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 akan bermula 19 Mac 2023 bagi sekolah di negeri Kumpulan A dan pada 20 Mac 2023 bagi sekolah di negeri Kumpulan B.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, bagi negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, sesi persekolahan akan berjalan hingga 9 Mac 2024 manakala sesi bagi Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah hingga 10 Mac 2024.

Sebelum ini, KPM menetapkan Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 dijadualkan bermula pada 12 Mac 2023 bagi negeri Kumpulan A dan 13 Mac 2023 bagi Kumpulan B.

"KPM membuat ketetapan untuk menangguhkan pembukaan sekolah bagi sesi persekolahan Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 supaya pengoperasian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

KPM turut memaklumkan sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 dikekalkan pada Mac 2023 untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada 190 hari.

Dalam pada itu, KPM turut memaklumkan, pihaknya mengambil maklum cadangan daripada beberapa pihak untuk mengembalikan permulaan sesi persekolahan ke bulan Januari.

KPM berpandangan bahawa perkara itu boleh dilaksanakan dengan memendekkan cuti persekolahan secara berperingkat bermula dari 2023 hingga 2026 dengan pematuhan kepada jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik.

"Namun, mengambil kira kebajikan para guru, murid dan kesan kepada ekonomi negara, KPM mengambil keputusan untuk menangguhkan cadangan ini bagi meminimumkan impak kepada pihak-pihak berkaitan," katanya.

KPM juga mengambil kira pelbagai pandangan yang diterima daripada pihak berkepentingan untuk mengelakkan peperiksaan SPM diadakan pada bulan November dan Disember kerana bertembung dengan musim tengkujuh.

"Pelaksanaan peperiksaan SPM dalam musim tengkujuh boleh menimbulkan tekanan bukan sahaja bagi guru dan petugas peperiksaan, malah kepada murid dan ibu bapa yang terlibat. Apabila SPM diadakan pada Februari atau Mac, tempoh menunggu untuk calon terbabit bagi kemasukan ke universiti juga akan lebih pendek berbanding sebelum ini," katanya.

KPM menjelaskan pihaknya sentiasa melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum.

Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 boleh dimuat turun melalui laman sesawang KPM menerusi pautan https//www.moe.gov.my/takwim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram