Abang Muhyiddin, bekas ahli Parlimen Muar meninggal dunia


  • Primer
  • Selasa, 06 Dis 2022

ALLAHyarham sebelum ini pernah menjadi Ketua Bahagian Umno Muar pada 1993 hingga 1995. — Facebook

BEKAS Ahli Parlimen Muar, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yassin yang juga abang kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, meninggal dunia pada Selasa pada usia 90 tahun.

Perkara berkenaan disahkan menerusi satu hantaran dalam Facebook Ahli Parlimen Pagoh itu.

Menerusi hantaran itu, Muhyiddin turut melahirkan rasa dukacita atas pemergian abangnya.

"Saya dan keluarga merasa sungguh dukacita dengan pemergian kakanda saya Tan Sri Abdul Aziz Yassin hari ini (Selasa).

"Saya kehilangan seorang abang yang banyak membantu kehidupan saya di zaman muda dan sentiasa memberi sokongan kepada saya selama ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, diampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan Allahyarham dalam kalangan orang soleh,” kata beliau menerusi hantaran itu.

Difahamkan, ALLAHyarham meninggal dunia pada pukul 9.50 pagi, Selasa dan jenazahnya akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Muadz Ibn Jabbal, Kuala Lumpur, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Gombak, petang Selasa.

Abdul Aziz yang dilahirkan di Muar pada 27 Oktober 1932, merupakan Ahli Parlimen Muar selama sepenggal selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-9, April 1995.

Beliau juga pernah menjadi Ketua Bahagian Umno Muar pada 1993 hingga 1995.

Selain itu, Abdul Aziz turut memegang pelbagai jawatan antaranya Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan, Presiden Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia serta Timbalan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram