Polis rampas dadah bernilai RM600,000 di Sibu


  • 112
  • Ahad, 04 Dis 2022

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri.

PENAHANAN seorang penganggur lelaki di Sibu, Sarawak oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak menyaksikan perampasan dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM600,000 pada Khamis lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri berkata, dadah yang dirampas di sebuah pangsapuri di Lorong Sena, Sibu itu boleh digunakan oleh 50,423 orang atau 50,423 kali penggunaan.

"Dadah yang dirampas itu terdiri daripada syabu, ketamin, erimin 5, serbuk jus ekstasi, pil ekstasi dan magic mushroom (psilosibin),” katanya pada Ahad.

Beliau berkata, pengedaran dadah tersebut didalangi sindiket bergiat aktif di beberapa daerah termasuk Sibu, Kuching, Bintulu dan Miri yang mendapat bekalan dari pengedar di Semenanjung Malaysia sebelum dihantar melalui perkhidmatan kurier.

Tambahnya, suspek berusia 29 tahun yang ditangkap di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Bunga Raya tersebut juga merupakan orang tempatan dan telah direman hingga 7 Disember ini untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan berkaitan dadah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) dan Seksyen 12 (2) ADB 1952 serta telah menjalani hukuman penjara dan diletak di bawah pengawasan pada tahun 2018.

Suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak dua bulan lepas dengan upah RM1,000 seminggu merupakan runner kepada sindiket itu dan polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan ketua sindiket tersebut yang masih bebas dan merupakan orang tempatan berusia dalam lingkungan 40-an.

"Suspek menjadikan sebuah rumah pangsapuri sebagai stor penyimpanan dadah dan tempat pembungkusan semula dadah kepada paket-paket yang lebih kecil.

"Setelah menerima arahan daripada ketuanya, suspek akan meletakkan dadah tesebut di tepi jalan di sekitar Sibu dan memaklumkan kembali ketuanya yang seterusnya menyuruh pelanggan mengambil dadah tersebut,” jelasnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Polis, Dadah, Sibu, Sarawak, Ekstasi, Ketamin, PDRM, Pangsapuri