Anak-beranak kena cekup miliki 216 kg dadah di JB


  • 112
  • Isnin, 07 Nov 2022

Suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — Gambar hiasan

POLIS Johor berjaya menahan tujuh orang suspek termasuk seorang bapa dan anaknya serta merampas 216kg ganja bernilai lebih RM500,000.

Ketua Polis Johor, Datuk Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menjalankan operasi khas pada Khamis dan berjaya menahan dua remaja lelaki di Taman Pelangi, Johor Bahru, Johor kira-kira pukul 10 malam.

“Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek, kami menemui dadah seperti ketamin dan ekstasi serta wang tunai RM5,000.

"Penangkapan mereka membawa kami ke sebuah pangsapuri yang mana kami berjaya menahan empat lagi suspek termasuk dua wanita," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru pada Isnin.

Kamarul Zaman berkata, polis kemudian menyerbu dua rumah di Tiram, Johor dan menahan seorang lelaki berusia 47 tahun, bapa kepada seorang suspek dan temui lebih banyak dadah.

Menurutnya lagi, selain ganja, polis turut merampas ketamin, 30 pil ekstasi dan suspek turut didapati positif dadah.

Kamarul Zaman berkata, dadah yang dirampas itu bernilai RM542,674 dan boleh menampung 216,199 penagih.

Tambahnya, suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram