SEPASANG suami isteri berusia 26 dan 28 tahun ditahan polis Kelantan kerana mengedar dadah jenis syabu bernilai lebih RM9.5 juta di Kampung Batu Jong pada Jumaat.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan itu dilakukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) ketika menjalankan rondaan pada 8 pagi.
"Anggota bertindak menahan kenderaan dinaiki pasangan warga tempatan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut, polis menemukan 11 guni yang mengandungi 24 bungkusan dibaluti dengan kerajang aluminium bertulis 'Guanyingwang' disyaki dadah jenis syabu.
"Kesemua dadah yang dirampas seberat 264 kilogram dianggarkan bernilai RM9,504,000 dipercayai untuk pasaran Lembah Klang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki yang ditahan menerima upah RM5,000 untuk menghantar bekalan dadah tersebut dan kenderaan yang dinaiki akan ditinggalkan di sebuah kawasan lain untuk diambil individu lain.
"Pasangan suami isteri berkenaan didapati tiada rekod jenayah lampau.
"Mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga sembilan Disember depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram