PELANTIKAN ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi tidak menjejaskan atau mempengaruhi kes mahkamah yang dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Penganalisis Politik, Prof. Dr. Azmi Hassan, pelantikan Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menimbulkan pelbagai reaksi dan tanggapan masyarakat.
Prof. Dr. Azmi Hassan
"Saya percaya pelantikan Azalina sebagai Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi tidak menjejaskan perjalanan mahkamah yang dihadapi Datuk Seri Zahid Hamidi.
"Ini kerana, Azalina tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi kes Zahid di mahkamah dan saya percaya pelantikan beliau tidak ada kena mengena dengan Zahid.
"Saya melihat pada ketika ini, sistem kehakiman bebas dari campur tangan kerajaan namun kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan," katanya kepada Majoriti.
Datuk Seri Zahid Hamidi berdepan pertuduhan kes rasuah.
Ketika ditanya mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan, Azmi berpendapat, ia satu gabungan menarik dan mempunyai cabaran tersendiri.
"Sebelum ini kita tidak pernah terfikir BN dan Pakatan Harapan (PH) akan tercetus selepas Pilihan Raya Umum ke 15 namun perkara ini sudah terjadi.
"Kalau dilihat komposisi kerajaan ini, ia gabungan antara calon berpengalaman dan calon muka baharu untuk menjawat jawatan menteri," jelasnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Kata Azmi, masyarakat harus faham mengapa pelantikan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dilakukan.
"Masyarakat harus faham, seseorang itu tidak bersalah selagi tidak terbukti bersalah dan kita harus memberi ruang kepada Anwar menerajui kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
"Pada pendapat saya, pelantikan itu bagi menguatkan Zahid dalam kedudukannya sebagai Presiden Umno memandangkan akan adanya Perhimpunan Agung Umno (PAU) tidak lama lagi.
"Zahid adalah individu utama yang membawa BN menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri. Jadi, susuk tubuh Zahid itu penting untuk kuat dalam kerajaan dan parti," jelasnya.
Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.
Tambah Azmi, peristiwa dua tahun lalu menjadi pengajaran kepada semua apabila pemimpin tidak mempunyai kekuatan dalam parti.
"Kita dapat lihat dua tahun lepas apabila Presiden Umno tidak mempunyai kekuatan atau pengaruh dalam kerajaan maka keadaan Umno ketika itu amat goyah sehingga berpecah belah.
"Ada sokongan ke arah Ismail Sabri dan Zahid Hamidi. Saya percaya ini yang mahu dielakkan Anwar dalam kerajaan Perpaduan," jelasnya.
Senarai Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan seramai 28 menteri dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Anwar turut memegang portfolio Menteri Kewangan manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri I disi oleh wakil BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri II.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram