PAS enggan bersama kerajaan, pilih jadi pembangkang


  • Politik
  • Sabtu, 26 Nov 2022

Takiyuddin berkata, PAS akan terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif.

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) berpendirian untuk menolak pelawaan menyertai Kerajaan Persekutuan bersama Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan bertulis pada Sabtu.

Takiyuddin berkata, keputusan berkenaan dibuat adalah untuk menghormati kepercayaan dan mandat pengundi yang sudah memilih PAS dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tempoh hari.

“Setelah membuat pertimbangan dari pelbagai sudut serta meneliti pendapat umum, PAS berpendirian tidak akan menyertai Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh PH dan DAP, demi menghormati kepercayaan dan mandat majoriti rakyat khususnya para pengundi yang telah memilih PAS dan PN dalam PRU15.

“Justeru PAS akan terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan menasihati semua pihak bagi memastikan tadbir urus negara berjalan lancar dan dapat ditegakkan berpaksikan kepada prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa pihaknya tidak akan menyertai kerajaan perpaduan pimpinan PH.

Presiden Bersatu itu berkata, keputusan berkenaan dibuat selaras dengan semangat mahu menyuburkan demokrasi serta melaksanakan peranan sembang dan imbang dalam Parlimen Malaysia.

Muhyiddin berkata, demi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia merintis kerjasama yang lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan antara kerajaan dan pembangkang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram