SEORANG anggota polis menjadi mangsa keadaan apabila ditembak rakan setugas kerana cuba mempertahankan diri dari ditembak tiga individu yang menyerangnya di New York, Amerika Syarikat pada Ahad.
Mangsa merupakan seorang anggota polis yang tidak bertugas dari daerah Vermont dan diserang tiga individu kerana dipercayai bergaduh di dalam kelab malam berhampiran kawasan kejadian.
Anggota polis itu dipercayai cuba mempertahankan diri daripada dipukul dan ditembak oleh tiga individu terbabit dengan mengeluarkan sepucuk pistol lalu melepaskan beberapa das tembakan.
Namun ketika kejadian, beberapa anggota polis yang sedang bertugas di kawasan itu terdengar bunyi tembakan dari arah mangsa serta tiga individu terbabit.
Mereka kemudiannya bergegas ke kawasan kejadian dan mengarahkan mangsa untuk meletakkan senjatanya di lantai.
Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi kamera badan polis yang bertugas.
Mangsa yang tidak menghiraukan arahan polis bertugas telah memaksa rakannya melepaskan 11 das tembakan yang mana mengakibatkan dia rebah.
Anggota polis terbabit terpaksa mengambil tindakan tersebut kerana mangsa telah menembak salah seorang daripada tiga individu tersebut sehingga cedera.
Isnin lalu, Ketua polis Saratoga Springs, Sgt Paul Veitch berkata, dua daripada tiga individu yang cedera masih berada di hospital dan dalam keadaan stabil sementara seorang lagi dibenarkan keluar wad pada Ahad.
Tambah Montagino, ia merupakan kali pertama dalam lebih 30 tahun seorang polis tidak bertugas di daerah tersebut mengeluarkan senjatanya.
"Selain dalam sesi latihan atau menyerang haiwan liar, ia merupakan kali pertama dalam 26 tahun seorang anggota polis mengacu senjata ketika di luar waktu tugasan," katanya.
Katanya, pegawai-pegawai yang terlibat dalam insiden itu akan diberi cuti mengikut protokol yang ditetapkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram