DATUK Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau tidak akan menerima gaji selaku Perdana Menteri seperti mana yang dinyatakan sebelum ini.
Perkara itu adalah langkah pertama yang diambil beliau untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dalam kerajaan perpaduan.
"Saya dah umum langkah pertama untuk pulihkan keyakinan rakyat supaya mereka tidak melihat Menteri dan pemimpin tanpa mengira agama semuanya fikir hal gaji, kontrak dan saham, jadi ya saya tolak gaji PM," katanya pada sidang media pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri di Sungai Long Club House, Kajang, Selangor pada Khamis malam.
Anwar juga menegaskan, kerajaan perpaduan pimpinannya tidak akan bertolak ansur dalam hal melibatkan rasuah dan penyelewengan.
"Tata kelola dalam pentadbiran saya perlu dikemas kini, bukan untuk mengungkit kisah lama tapi ini disepakati sebagai syarat dalam pembentukan kerajaan perpaduan," katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa hal berkaitan ekonomi negara akan diberi tumpuan utama.
"Syukur ketika ini keyakinan pelabur berubah, ringgit semakin kukuh dan saham lebih kuat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram