HARI Khamis akan menyaksikan keputusan siapa bakal menjadi Perdana Menteri ke-10 selepas enam hari kemelut politik pasca Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) melanda negara.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan akan bermesyuarat bersama Raja-Raja Melayu dalam satu perjumpaan khas di Istana Negara.
Rakyat juga sudah menjalankan tanggungjawab mengundi dalam PRU15 untuk memilih parti yang menerajui kerajaan.
Cuma dalam sistem demokrasi, gabungan parti politik perlu sekurang-kurangnya mendapat 111 kerusi untuk membentuk kerajaan.
Setakat ini tiada kata sepakat untuk tiga gabungan politik, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) untuk bersama membantu kerajaan.
Apa akan terjadi sekiranya kerajaan masih gagal dibentuk?
Majoriti berhubung dengan penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar dan berikut dikongsikan tiga senario yang boleh berlaku jika tiada kerajaan dapat dibentuk.
Agong berkuasa bentuk kerajaan minoriti
Ketiadaan parti yang boleh membentuk kerajaan sebenarnya akan memberi kesan yang besar kepada negara termasuklah kesukaran meluluskan Bajet 2023.
Mengikut kepada amalan negara Komanwel, Agong masih perlu melantik seorang Perdana Menteri walaupun parti yang bertanding PRU15 tidak mempunyai cukup majoriti dalam PRU15.
"Cuma kerajaan minoriti ini akan timbul masalah bila nak meluluskan Bajet dan sebagainya kerana tiada majoriti Ahli Parlimen.
"Malah, negara tidak mempunyai pengalaman dalam membentuk kerajaan minoriti dan disebabkan itu Agong mahukan kerajaan perpaduan," katanya.
Kerajaan perpaduan lebih baik kerana semua parti terlibat dalam membuat keputusan tetapi katanya, ahli politik kini masih nak memperlihatkan kesombongan masing-masing dan enggan berpakat membentuk kerajaan.
Tentera ambil alih
Menurut Rusdi, dia tidak nampak keadaan sekarang memerlukan negara melalui pemerintahan ala tentera, malahan tidak mahu perkara itu berlaku.
"Kalau (pemerintahan tentera) berlaku, ini menunjukkan negara kita berada dalam keadaan yang tidak stabil dari segi politik.
"Kesannya juga amat besar bukan sahaja kepada rakyat, tetapi juga kepada ekonomi negara. Rakyat juga akan hidup dalam ketidaktentuan," katanya.
Namun kata Rusdi, perkara itu boleh berlaku jika timbulnya rusuhan atau kekacauan dalam kalangan rakyat ekoran kemelut politik yang berlaku sekarang.
PRU semula?
Penganjuran semula PRU jika tiada kesepakatan diraih menurut Rusdi, tidak perlu dilakukan kerana memakan kos yang terlalu besar dan terpaksa ditanggung kerajaan.
"Jalan yang terbaik ialah menerusi undi percaya di Parlimen untuk melihat siapa yang betul-betul mendapat majoriti.
"Untuk mengadakan semula PRU memang dilihat tidak ideal," katanya.
Tambah Rusdi, apa yang boleh dilakukan pemimpin politik adalah untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam membuat keputusan dengan membuang perasaan hasad dengki.
Sentiasa berjiwa besar dan matang dalam membuat keputusan demi rakyat kerana jika tidak, sampai bila-bila pun tidak boleh selesai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram