PAKATAN Harapan (PH) mengumumkan peguam, Dr Mohamad Sofee Razak sebagai calon parti itu untuk bertanding di Padang Serai selepas pengundian PRU15 ditangguhkan berikutan kematian calon parti berkenaan.
Pengumuman itu dibuat dalam satu majlis khas yang diadakan di Kompleks Perniagaan Seraya, Sungai Petani, Kedah pada Rabu.
Pengerusi Pakatan Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mewakili kepimpinan PH mengumumkan pencalonan Mohamad Sofee.
Salahuddin berkata, Mohamad Sofee dipilih berdasarkan beberapa kriteria seperti profesionalisme dan iklim politik semasa di negeri ini.
Mohamad Sofee, seorang peguam secara profesion yang pernah bertanding di kerusi DUN Kuala Ketil semasa PRU14.
Berusia 47 tahun, Setiausaha PKR Kedah itu juga seorang penulis jurnal dan majalah.
Beliau memiliki ijazah sarjana dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang komunikasi dan undang-undang serta PhD dalam Kewangan dan Perbankan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS).
Hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Pakatan Kedah Datuk Mahfuz Omar, Adun Suka Menanti Datuk Zamri Yusuf, Pengerusi DAP negeri Tan Kok Yew dan Pemangku Pengerusi Amanah Datuk Dr Ismail Salleh.
Pada PRU15, M. Karupaiya calon PH yang merupakan penyandang Ahli Parlimen, meninggal dunia dua hari sebelum hari pengundian.
Mendiang yang berusia 68 tahun sepatutnya bertanding dalam perebutan enam penjuru melibatkan Datuk Sivarraajh Chandran dari Barisan Nasional, Datuk Azman Nasrudin (Perikatan), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).
Suruhanjaya Pilihan Raya menangguhkan pengundian kepada 7 Disember, penamaan calon pada 24 November dengan pengundian awal pada 3 Disember. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram