KEMELUT negara dalam membentuk kerajaan dan mencari Perdana Menteri masih belum selesai apabila tiada titik persamaan dapat dicapai dalam gabungan parti politik negara setakat Khamis.
Masing-masing masih berdegil dan kini, terpulang Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuat keputusan.
Ketika ini juga sedang berlangsung Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara untuk membincangkan perihal pembentukan kerajaan.
Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara sedang berlangsung.
Apa yang berlaku kini menurut penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar adalah satu petanda bahawa sudah tiba masanya untuk pemimpin muda pula diangkat memacu negara.
"Pemimpin politik kena fikir jauh ke hadapan. Kena fikir anak cucu. Mungkin negara sekarang dalam keadaan baik, tapi jika ini berterusan, apa akan jadi dengan anak cucu di masa depan?
"Sebab itu saya merasakan bahawa adalah lebih baik jika orang lama dalam parti politik bersara. Bagi golongan muda di peringkat pertengahan untuk mengemudi politik negara," katanya kepada Majoriti.
Menurut Rusdi, kalau pemimpin lama ini fikir mengenai kepentingan negara, rakyat dan ekonomi, apa yang sedang berlaku ini tidak akan terjadi.
"Negara lain terutamanya negara maju, kebanyakannya sudah mengambil orang muda dan pertengahan sebagai pemimpin negara.
"Negara kita pula masih nak pilih pemimpin yang berusia lebih 60 tahun untuk jadi pemimpin. Kesudahannya, golongan ini lebih gemar berpolitik daripada menyelesaikan masalah," katanya.
Berikut Majoriti senaraikan lima Ahli Parlimen yang masih dianggap pucuk muda yang menang dalam PRU15 baru-baru ini:
Rafizi Ramli (PH)
Berusia 45 tahun, Rafizi merupakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mencatatkan kemenangan besar di Parlimen Pandan dengan majoriti 48,296 undi.
Rafizi sudah berkecimpung lama dalam dunia politik sejak 2008 dan banyak membuat pendedahan berkaitan salah guna kuasa pemimpin negara.
Akmal Nasir (PH)
Berusia 36 tahun, Akmal Nasir merupakan Ketua Angkatan Muda PKR yang berjaya menang dengan majoriti 16,041 undi di Parlimen Johor Bahru.
Sebelum bergelar Ahli Parlimen, beliau merupakan pengasas dan pengarah satu pertubuhan NGO yang dikenali sebagai National Oversight and Whistleblower (NOW) bersama dengan Rafizi Ramli.
Young Syefura (PH)
Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai Rara adalah aktivis masyarakat, ahli politik wanita muda dan ahli majlis. Naluri kemanusiaan dan semangat memperjuangkan golongan tertindas membawa beliau aktif dalam aktivisme masyarakat dan anak muda.
Meskipun sentiasa komited dan tegas menjalankan tugasnya, Rara juga dikenali sebagai seorang pemimpin muda yang ramah, mudah mesra dan amat menitik beratkan hubungan baik sesama masyarakat.
Mohd Shahar Abdullah (BN)
Mohd Shahar yang juga Ketua Pemuda Umno Pahang menang dengan majoriti 1,371 undi di Parlimen Paya Besar.
Dia mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan selepas dilantik menjadi Timbalan Menteri Kewangan II Pada 9 Mac 2020.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN)
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencatat kemenangan mengejutkan dengan majoriti undi 10,154 di Parlimen Machang, Kelantan.
Merupakan Ketua Armada Bersatu Malaysia sejak 2020 hingga kini, Wan Ahmad Fayhsal juga berpengalaman berada dalam kerajaan dengan menjawat jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta Timbalan Menteri Perpaduan Negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram