[VIDEO] Siap ketawa, aksi kejam pelajar pukul mati anjing bunting bawa padah


  • Benua
  • Selasa, 22 Nov 2022

Tangkap layar video sekumpulan remaja membuli seekor anjing bunting sehingga mati.

SIFAT belas kasihan terhadap semua makhluk termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan sepatutnya wujud dalam diri setiap manusia.

Namun, ia seolah-olah hilang apabila manusia sanggup menindas makhluk lain yang lemah dan tidak berdaya.

Baru-baru ini, empat pelajar kolej bertindak kejam apabila membelasah seekor anjing bunting sehingga mati.

Menerusi sebuah video tular, kumpulan itu dilihat memukul anjing tersebut menggunakan peralatan tumpul seperti kayu besbol dan batang besi.

Lebih menyakitkan hati, kesemuanya berasa senang hati sambil bergelak ketawa ketika melakukan perbuatan kejam itu.

Meskipun video berkenaan tidak memaparkan keadaan anjing ketika dipukul, namun suara anjing yang mengerang kesakitan itu sudah cukup menyayat hati bagi sesiapa yang mendengarnya.

Kejadian itu berlaku di sebuah bilik di Okhla, dekat Delhi, India.

Video berasingan memaparkan, salah seorang pelajar tersebut menarik kaki haiwan itu sebelum menyeretnya ke kawasan padang.

Anjing itu dilihat lemah dalam video berkenaan.

Menurut polis India, keempat-empat pelajar tersebut sudah pun ditangkap dan sedang disoal siasat.

Berdasarkan siasatan awal, kumpulan itu berang apabila mendengar salakan anjing tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram