[VIDEO] Dituduh curi telefon bimbit, gadis diikat dan diarak satu kampung


  • Benua
  • Selasa, 22 Nov 2022

Tangkap layar menunjukkan suspek mencukur rambut mangsa hingga botak sebelum dia diarak di kawasan kampung.

POLIS menyiasat kes penderaan seorang gadis berumur 14 tahun yang rambutnya dicukur botak sebelum dibawa berarak seperti seorang penjenayah di Kampung Tatelu, Minahasa Utara, Sulawesi Utara, Indonesia.

Ketua Perhubungan Awam Polis Minahasa Utara, Ennas Firdaus berkata, pihaknya menyoal siasat empat orang yang disyaki menjadi suspek dalam kes tersebut.

Menurutnya, seorang lagi pelaku yang masih di bawah umur masih belum disiasat buat masa ini.

"Mengikut laporan polis, terdapat lima orang dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut. Empat daripadanya sudah disoal siasat, cuma pelaku di bawah umur belum tampil bekerjasama dengan polis," katanya.

Firdaus tidak menolak akan memanggil lebih ramai individu yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

Terdahulu, tular rakaman video yang menunjukkan mangsa dibuli dengan rambutnya dicukur botak.

Kelihatan tangannya diikat dengan seutas tali ketika beberapa remaja lain menggunting dan mencukur rambut mangsa.

Dia kemudian dibawa berarak secara berkaki ayam dan tangan terikat di sepanjang jalan sambil diperhatikan orang awam.

Pelaku turut bertindak memalukan mangsa dengan menggantung kad di lehernya dengan tulisan berbunyi, 'Saya Aurelia dah ba pancuri' bermaksud 'Saya Aurelia si pencuri.'

Difahamkan, mangsa menerima layanan sedemikian kerana dituduh mencuri telefon bimbit. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram