GRS sokong Muhyiddin sebagai PM — Hajiji


  • Politik
  • Isnin, 21 Nov 2022

Hajiji menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri dalam pembentukan kerajaan Persekutuan dengan PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti lain. — Bernama

GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) menyatakan pendirian menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri dalam pembentukan kerajaan Persekutuan dengan PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti lain.

Persetujuan itu dinyatakan Presiden GRS, Datuk Seri Hajiji Noor pada Isnin.

Ketua Menteri Sabah itu berkata, GRS juga bersetuju untuk membentuk kerajaan Persekutuan bersama PN, GPS dan parti lain yang bersedia bekerjasama untuk tujuan itu.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Muhyiddin dalam satu pertemuan dengan pemimpin GRS di Kuala Lumpur pada Ahad yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

"GRS berpandangan adalah perlu pembentukan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan pada kadar segera untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi sepenuhnya, khususnya dalam memuktamadkan penggubalan belanjawan untuk 2023.

"GRS sentiasa komited untuk membawa citra kesatuan demi kepentingan rakyat dan tanah air," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, GPS menyatakan persetujuan untuk bergabung dengan Barisan Nasional (BN), PN dan GRS untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Muhyiddin yakin beliau mempunyai sokongan mencukupi daripada Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata, dalam pertemuan dengan Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Hajiji menyatakan sokongan dan kepercayaan Ahli Dewan Rakyat daripada kedua-dua gabungan itu terhadap beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram