PH dan BN mengorak Langkah Seri Pacific, bakal tubuh kerajaan bersama


  • Politik
  • Isnin, 21 Nov 2022

Anwar keluar dari kediamannya di Sungai Long, Kajang untuk menghadiri pertemuan dengan pemimpin BN di Hotel Seri Pacific pada Isnin. — Bernama

HAMPIR semua 30 Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) ketika ini berkumpul di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur bagi menghadiri pertemuan dengan pimpinan tertinggi komponen Pakatan Harapan (PH) termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara yang sudah kelihatan adalah Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Manakala Ahli Parlimen lain yang turut kelihatan termasuk Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ka Siong berkata, mereka berkumpul di Hotel Seri Pacific selepas mendapat arahan daripada kepimpinan tertinggi mengenai agenda pembentukan kerajaan.

Sementara itu, Ahmad Maslan pula berkata, presiden parti berhak membuat keputusan untuk kebaikan parti mengikut perlembagaan.

Katanya lagi, semua calon BN juga sudah menandatangani perjanjian tertentu.

Respons itu diberikan ketika menjawab pertanyaan mengenai status Ahli Parlimen BN yang enggan mengikuti hala tuju Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa beliau sahaja yang layak dalam menentukan apa-apa gabungan politik bersama BN dalam penubuhan kerajaan.

Beliau turut menegaskan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan kelucutan keahlian termasuk kerusi Parlimen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram