[VIDEO] 'Rugi satu undi', dah 3 PRU graduan Jordan tak dapat mengundi, abang persoal cara SPR buat kerja


  • Tular
  • Jumaat, 18 Nov 2022

Seluruh rakyat Malaysia akan turun mengundi pada PRU15 pada Sabtu ini.

RATA-RATA rakyat Malaysia menzahirkan keterujaan untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini namun situasi berbeza pada seorang lelaki yang meluahkan rasa kecewa apabila adiknya tidak dapat membuang undi dan memilih calon wakil rakyat pilihannya.

Menurut Awaludin Effendy menerusi akaun Tiktok, adiknya sudah tiga kali tidak dapat mengundi kerana maklumat data masih belum dikemaskini oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak 2012.

"Adik aku belajar di luar negara dulu iaitu di Universiti Yarmouk, Jordan. Selepas dia pulang ke tanah air pada tahun 2012, dia cuba mengundi untuk PRU13 namun tidak dibenarkan ekoran statusnya yang masih kekal sebagai pengundi pos.

"Sekali lagi adik aku berdepan masalah sama apabila tidak dibenarkan mengundi pada PRU14 kerana status tersebut tidak dikemas kini.

"Sekarang sudah PRU15, bila adik aku semak status dia masih sama, masih undi pos. Adik aku sudah terlepas tiga kali peluang untuk mengundi," katanya.

Menerusi video seminit lebih itu, Awaludin turut mempersoalkan gerak kerja pihak SPR.

"Adakah SPR tak buat kerja atau disebaliknya?

"Tak logik, lama sangat SPR nak kemas kini status adik aku. Adik aku balik dah lama dah sejak dari tahun 2012.

"Jadi kat situ dah rugi, adik aku rugi dan ahli politik pun rugi satu undi," katanya

WhatsApp Image 2022-11-18 at 18.03.16

Tangkap layar imej data maklumat mengundi yang dikongsikan Awaludin

Menurut Awaludin, adiknya sudah menghubungi pihak SPR baru-baru ini namun status adiknya masih sama dan tidak dikemas kini.

Sementara itu, usaha Majoriti untuk mendapatkan penjelasan SPR mengenai isu itu tidak berhasil apabila pihak suruhanjaya berkenaan tidak memberi sebarang maklum balas setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram