Bukit Aman buka 20 kertas siasatan, 4 ditahan kes khianat kempen PRU15


  • 112
  • Khamis, 17 Nov 2022

Polis berjaya menahan tiga daripada suspek di Bentong, Pahang kerana didakwa memasang sepanduk yang berbaur fitnah mengenai calon.

POLIS menahan empat individu dan membuka 20 kertas siasatan berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setakat Rabu.

Pengarah Operasi PRU15 Bukit Aman Komisioner, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, tiga daripada suspek ditahan di Bentong, Pahang kerana didakwa memasang sepanduk yang berbaur fitnah mengenai calon.

“Sepanduk itu dipasang di Jalan Utama Industri dan lebuh raya CSR di Bentong.

"Kami berjaya mengesan tiga lelaki dan menahan mereka. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 4A(1) Akta Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, seorang lagi lelaki ditahan di Kuching, Sarawak kerana merosakkan poster dan sepanduk sebuah parti politik.

“Kami menyiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Hazani berkata, 20 IP dibuka pada Rabu termasuk empat IP masing-masing di Kuala Lumpur dan Selangor, tiga di Sarawak, dan dua di Sabah.

“Kami akan menyiasat semua kes secara menyeluruh,” katanya.

Sebanyak 2,148 permit dikeluarkan untuk ceramah pada hari Rabu.

“Ia termasuk 326 permit dikeluarkan di Sabah, diikuti Pahang (300), Sarawak (293), Perak (221) dan Johor (208).

"Kami tidak mengesan sebarang ceramah diadakan tanpa permit pada Rabu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram