Rani Kulup, Ahmad Idham hilang deposit di Port Dickson


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Calon bebas Rani Kulop dan parti Pejuang, Ahmad Idham tewas di parlimen P128 Seremban.

DUA calon sensasi di Parlimen Port Dickson, Abdul Rani Kulup Abdullah dan Ahmad Idham Ahmad Nadzri (Pejuang) gagal memperoleh kemenangan di Parlimen Port Dickson selepas kedua-duanya tumpas di tangan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berjaya menang besar di Parlimen dengan 42,031 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk P Kalamanathan yang memperoleh 18,412 undi dan calon Perikatan Nasional (PN), Rafiei Mustapha dengan 18,235 undi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke Siew Fook berjaya mengekalkan kemenangannya di kerusi Parlimen Seremban dengan undian sebanyak 63,916 sekali gus menewaskan empat calon lain dengan majoriti 30,841 undi.

Kemenangan itu menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Felicia Wong Yin Ting tewas dengan 24,584 undian, Mohd. Fadli Che Me (PN), 33,075 undian, Mohamad Jani Ismail (Pejuang) 1,336 undian dan calon Bebas, Mohd. Izzat Lesley dengan 373 undian.

Manakala, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Mohamad Hassan berjaya mempertahankan kemenangannya di Parlimen Rembau dengan kutipan undi sebanyak 53,075 menewaskan empat pencabar lain dengan majoriti 19,897.

Saingan yang cuba diberikan calon Jufitri Joha nyata gagal menyaingi Tok Mat apabila hanya memperoleh sebanyak 33,178 undi, diikuti Nazree Yunus; 21,875 undi, S. Tinagaran; 779 undi dan Ramly Awalludin 529 undi.

Datuk Shamsulkahar Mohd Deli pula berjaya menang di Parlimen Jempol dengan undian 30,138, menewaskan tiga calon penjuru, Norwani Ahmat, (PH) Affendy Salleh, (PN) dan Khalid Yunus (PEJUANG). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram