Susulan kematian calon, pengeluaran kertas undi DUN Tioman ditangguhkan


  • Politik
  • Sabtu, 19 Nov 2022

SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status DUN Tioman.

PEGAWAI Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek memaklumkan pengeluaran kertas undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N41 Tioman ditangguhkan susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli awal pagi Sabtu.

"Penangguhan hanya melibatkan DUN berkenaan sahaja manakala pemilihan bagi kawasan Parlimen Rompin akan dijalankan seperti biasa," katanya semasa dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata, kenyataan lanjut berhubung status DUN Tioman yang terletak dalam Parlimen Rompin akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PRU15

Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli pula berkata, kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh SPR Putrajaya.

Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin pada 3.30 pagi Sabtu.

Allahyarham daripada PAS yang juga Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman sebelum ini pernah bertanding di DUN sama pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Pada PRU15, DUN Tioman menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram