KEMALANGAN akibat kecuaian pemandu kereta kerap menjadi perhatian masyarakat, apatah lagi melibatkan meragut nyawa orang yang tidak bersalah.
Terbaharu, seorang pengguna Twitter @nan manjoi8715 memuat naik satu kejadian kemalangan akibat kecuaian pengguna jalan raya lain berlaku di persimpangan lampu isyarat berdekatan di Jalan Sultan Azlan Shah, Pulau Pinang.
Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 11:22 malam Khamis itu berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) seorang pengguna jalan raya lain.
Menerusi rakaman berdurasi 30 saat itu memaparkan kereta jenis Perodua Myvi terlibat kemalangan selepas dilanggar kenderaan lain dari arah bertentangan.
Sebelum kejadian tersebut Myvi berwarna silver itu berhenti ketika lampu isyarat merah. Selepas lampu isyarat bertukar hijau,kenderaan Myvi berkenaan meneruskan perjalanan dengan membelok ke arah kanan.
Namun begitu, kenderaan tersebut dilanggar oleh kereta lain yang meluru laju dari arah bertentangan.
Difahamkan kenderaan berkenaan melanggar isyarat lampu merah sekali gus mengakibatkan kemalangan tersebut berlaku.
Setakat berita ini ditulis tidak dapat dipastikan keadaan kedua-dua pemandu tersebut dan belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram