TINDAKAN seorang lelaki memandu kenderaan pacuan empat roda (4X4) mengejar pemandu Perodua Kelisa didakwa cuba melarikan diri di Klang, Selangor selepas menghimpit penunggang motosikal sehingga kemalangan pada Isnin, menerima pujian orang ramai.
Melalui satu video tular yang dimuat naik di halaman Tiktok Lawahambar memaparkan Perodua Kelisa tersebut dari arah kanan itu menukar ke arah kiri secara mengejut kerana mengelak lubang dan menghimpit motosikal mangsa.
"Kejadian berlaku di Jalan Haji Abdul Manan, Meru menghala ke Aman Perdana, Klang. Kereta mengelak jalan berlubang tak perasan ada motosikal di belakang. Hati-hati kepada semua pengguna jalan ini," tulisnya.
Melalui video berdurasi 41 saat tersebut, kelihatan penunggang motosikal itu sempat mengelak kereta Perodua Kelisa berkenaan namun mangsa terjatuh selepas melanggar penghadang jalan.
Selepas kejadian, pengguna jalan raya lain memberhentikan kenderaan untuk membantu mangsa.
Menjengah ke ruangan komen, salah seorang warga maya, nurfatinwahidah49 mendakwa penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan tersebut merupakan suaminya.
"Suami saya yang kena tu. Alhamdulillah suami saya okay cuma luka-luka dan bengkak-bengkak sikit. Terima kasih kepada yang tolong suami saya," katanya.
Sementara itu, merpati putih mempersoalkan tindakan pemandu kereta Perodua Kelisa berkenaan.
"Kalau ye pun tak sengaja, berhentilah tengok. Jangan lari, minta maaf ke," tulisnya.
cikme qaqa stylish pula memuji tindakan pemandu kenderaan 4X4 berkenaan yang cepat bertindak.
"Bagus pemilik 4X4 yang tolong halang kereta itu daripada melarikan diri. Moga ALLAH sentiasa merahmati awak," tulisnya.
Seorang lagi warganet, Junaidirockfather munroe turut memuji tindakan pemandu kenderaan 4X4 tersebut.
"Terima kasih banyak pada pemilik 4x4 hitam itu kerana masih mempunyai nilai berperikemanusiaan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao ketika dihubungi Majoriti berkata, tiada laporan dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kemalangan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram