Prasarana tawar tambang percuma sepanjang hari mengundi


  • Massa
  • Jumaat, 18 Nov 2022

Tambah pengangkutan awam bawah kendalian Prasarana percuma sepanjang hari pengundian pada Sabtu.

PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) menawar tambang percuma sepanjang hari pada Sabtu sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kesemua perkhidmatan di bawah kendaliannya.

Prasarana memaklumkan tambang percuma meliputi perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel, Transit Aliran Bas (BRT) atau bas henti-henti.

"Ini adalah langkah Prasarana sebagai sebuah syarikat Malaysia memudahkan rakyat keluar mengundi demi menjalankan tanggungjawab dan hak mereka," jelas dalam kenyataan pada Jumaat.

Prasarana memaklumkan pengguna My50 boleh menggunakan pas seperti biasa manakala pengguna kad Touch ‘n Go boleh menggunakan kad tanpa sebarang caj.

Sementara itu, pengguna token pula perlu ke mana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala.

Bagi perkhidmatan Rapid Bus di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan termasuk bas perantara MRT, Prasarana memaklumkan pengguna tidak perlu menyentuh kad di mesin pengimbas apabila menaiki atau turun daripada bas.

Menurut Prasarana tambang percuma itu bagi memudahkan rakyat Malaysia keluar mengundi dengan mudah, tenang dan selamat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram