Salah tulis nama Perdana Menteri dalam surat rasmi, JPN Kedah kena kecam


  • Tular
  • Selasa, 15 Nov 2022

Warga maya meluahkan rasa kesal kerana nama pemimpin negara itu disalah tulis.

IMEJ sebuah surat rasmi dari Jabatan Kementerian Pendidikan Negeri Kedah (JPN Kedah) yang memaparkan makluman berkaitan Hari Kelepasan Am sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi tular gara-gara kesilapan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi tangkap layar imej yang dikongsikan di laman Facebook KedahLanie, nama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera itu disalah tulis oleh jabatan berkenaan.

"Jabatan Pendidikan Negeri Kedah telah mengambil maklum pengumuman oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Ismail bin Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia berkaitan Hari Kelepasan Am pada 18 November 2022 (Jumaat) dan 19 November 2022 (Sabtu) untuk memudahkan urusanpengundi menunaikan tanggungjawab pada PRU15," kata keterangan surat tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, seorang warganet, Syahabuddin Shafiee meluahkan rasa kesal kerana nama pemimpin negara itu disalah tulis.

"Nama YAB PM pun tak betul. YAB Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaakob," tulisnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Perhubungan dan Pendaftaran, Sektor Pengurusan Sekolah JPN Kedah, Baser Hussin berkata, pihaknya sudah mengambil maklum akan perkara tersebut.

"Surat pembetulan (ralat) telah dibuat serta merta dan dipanjangkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram