Penduduk Titiwangsa tak peduli soal debat, yang penting 'track record' calon


  • Massa
  • Ahad, 13 Nov 2022

Calon Parlimen Titiwangsa, Johari Abdul Ghani (kiri) masih belum memberi jawapan sedangkan Khalid Samad sudah bersedia untuk berdebat.

PROGRAM debat yang sepatutnya menemukan dua calon di Parlimen Titiwangsa masih lagi bertepuk sebelah tangan.

Pelawaan untuk menyertai debat itu hanya dipersetujui oleh calon Pakatan Harapan, Khalid Abd Samad manakala calon Barisan Nasional, Datuk Seri Johari Abdul Ghani masih belum menyatakan untuk hadir atau tidak.

WhatsApp Image 2022-10-26 at 10.31.00 PM

Namun, tinjauan Majoriti terhadap penduduk di Parlimen Titiwangsa menyatakan bahawa, program debat bukanlah penentu utama untuk mereka membulatkan keputusan siapa yang mahu dijadikan wakil rakyat.

Seorang pengundi di Parlimen Titiwangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azlan, 36, berkata, apa yang penting ialah track record pemimpin yang bertanding itu.

"Parlimen ini sudah menerima dua pemimpin dari parti yang berbeza dan kita boleh nilai menerusi lima tahun waktu perkhidmatan mereka," katanya.

Peniaga kedai runcit, Rahma Sathianthan, 40, berkata, adalah lebih baik jika calon fokus pada kempen politik apatah lagi masa yang ada tidak sesuai untuk dianjurkan debat.

WhatsApp Image 2022-11-13 at 5.37.44 PM

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zuri, 49, berkata, dia tidak merasakan debat sebagai cara untuk terbaik untuk calon.

"Apa sekalipun yang terjadi, kita tetap akan tengok pada apa yang dia buat sebelum ini. Ada calon yang bertanding kali ini sudah buktikan apa kemampuan mereka sebelum ini," katanya.

WhatsApp Image 2022-11-13 at 5.38.18 PM

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Yani, 50, berkata, berkemungkinan jadual kempen yang padat membuatkan ada calon tidak dapat hadir untuk debat.

Tambahnya, dia merasakan kedua-dua calon sebenarnya sentiasa bersedia untuk berdebat cuma kekangan masa yang berkemungkinan membuatkan ada yang tidak dapat hadir.

WhatsApp Image 2022-11-13 at 11.24.45 AM

Poster hebahan debat antara Johari Abdul Ghani dan Khalid Abd Samad yang sepatutnya diadakan pada malam Ahad.

Untuk rekod, debat yang akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 8.30 malam Ahad adalah anjuran Rakan Siswa, Arus Anak Muda dan Undi 18.

Difahamkan, jemputan untuk debat bertajuk Debat Wilayah – Kelangsungan Hidup Anak Muda: Apa Masa Depan Mereka itu sudah dihantar secara berdepan kepada calon Parlimen Titiwangsa beberapa hari lalu.

Parlimen Titiwangsa menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu Khalid (PH), Johari (BN), Rosni (PN) dan Khairuddin Abu Hassan (Gerakan Tanah Air). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram