Sokong calon parti lawan, 2 ketua wanita digantung jawatan


  • Politik
  • Ahad, 13 Nov 2022

Ahmad Maslan berkata, butiran lanjut dan pertuduhan terhadap mereka akan dibuat dalam masa terdekat kepada Lembaga Disiplin Umno.

AKIBAT menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15, Umno bertindak untuk menggantung jawatan Ketua Wanita Umno Bahagian Arau, Datin Seri Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita Umno Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.

Kedua-duanya digantung keseluruhan jawatan di peringkat cawangan serta bahagian untuk sementara waktu yang mana tindakan parti itu selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan Umno.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penggantungan itu dilaksanakan kerana terdapat aduan sahih berkenaan tingkahlaku, sikap dan kecenderungan kedua-dua individu terbabit menyokong calon parti lawan secara langsung atau tidak langsung.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pontian itu berkata, butiran lanjut dan pertuduhan akan dibuat dalam masa terdekat kepada Lembaga Disiplin.

Malah, parti berkenaan juga akan melakukan pemantauan berterusan terhadap ahli-ahli Umno sepanjang tempoh berkempen PRU ke-15.

“Butiran lanjut dan pertuduhan akan dibuat dalam masa terdekat apabila aduan ke atas kedua-dua Ketua Wanita berkenaan kepada Lembaga Disiplin.

“Umno ingin menegas, pemantauan berterusan akan dilakukan terhadap ahli-ahli parti sepanjang tempoh kempen PRU ke-15 ini bagi memastikan tiada unsur-unsur sabotaj dilakukan terhadap calon dan parti,” jelasnya.

Difahamkan, tindakan itu diambil mempunyai hubung kait dengan sokongan mereka terhadap Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Shahidan yang digugurkan Umno akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kawasan Arau, begitu juga Ismail yang juga penyandang kerusi Parlimen Maran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram