PAPAN iklan yang memaparkan wajah penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjadi mangsa vandalisme.
Gambar Ahmad Faizal dilihat 'berlubang'.
Pembantu Ahmad Faizal, Natasha Amira berkata, pasukannya ternampak papan iklan rosak itu di susur keluar lebuh raya ke Sunway City, dekat Ipoh, Perak yang berada dalam kawasan Parlimen Tambun, Perak.
"Ini merupakan kali pertama kami dapati bahan kempen dirosakkan dengan teruk.
"Kami akan membuat laporan polis kerana tindakan itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan calon dan pasukannya, sekiranya terdapat serangan ganas lain seperti ini," katanya kepada pemberita.
Tambun adalah antara kerusi panas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), apabila Ahmad Faizal melakukan pertembungan dengan nama-nama besar seperti Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Pengerusi Umno Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Hanafiah yang bertanding di bawah tiket Barisan Nasional (BN).
Terdahulu pada Jumaat, satu laporan polis dibuat oleh wakil BN di Balai Polis Presint 11, Putrajaya berhubung beberapa poster dan bahan kempen Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang juga calon BN di Putrajaya diconteng dan ditulis dengan kata-kata kesat menggunakan cat berwarna hitam.
Pada hari sama, tular hantaran di laman TikTok milik Halimey Abu Bakar yang memaparkan seorang lelaki menurunkan bendera PH di hadapan Muzium Negara, di ibu negara.
Namun, Halimey tampil menjelaskan bahawa ejen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilantik itu sebenarnya sedang menanggalkan bendera parti, yang menghalang pagar Muzium Negara di kawasan parlimen Lembah Pantai. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram