Tanpa berbincang, Kementerian Pendidikan mansuh Bantuan Makanan Asrama, YBK mohon campur tangan PM


  • Massa
  • Sabtu, 12 Nov 2022

YBK memohon campur tangan Perdana Menteri berhubung pemansuhan penyaluran BMA kepada murid asrama di bawah kerajaan negeri dan yayasan sejak 1 Januari 2022.

YAYASAN Basmi Kemiskinan (YBK) memohon campur tangan Perdana Menteri berhubung keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan penyaluran Bantuan Makanan Asrama (BMA) kepada murid asrama di bawah kerajaan negeri dan yayasan sejak 1 Januari 2022.

YBK menerusi satu kenyataan pada Jumaat menggesa agar BMA kepada asrama kerajaan negeri/yayasan dikembalikan semula sebagaimana sebelum ini bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung untuk membiayai lebih 200 murid setiap tahun.

Yayasan itu berkata, pihaknya perlu menyiapkan dana sebanyak RM 2 juta setahun untuk murid Asrama Kasih di Serendah, Selangor, yang menempatkan seramai 200 pelajar sekolah menengah pada satu-satu masa dan perbelanjaan tersebut tidak termasuk kos-kos lain.

Menurut YBK, kos itu juga belum mengambil kira perbelanjaan yayasan bagi outlet untuk murid sekolah rendah dinamakan Jambor Sakti di Kampung Gesir Tengah, Kuala Kubu Bahru yang mampu menempatkan seramai 40 murid dan beroperasi sejak 2003.

"Kos operasi Asrama Kasih ditanggung sepenuhnya oleh YBK tanpa melibatkan pendanaan luar dengan purata kos sara hidup seorang pelajar sebanyak RM48,000 bagi tempoh lima tahun (RM9,600 setahun)," katanya.

Berdasarkan jumlah itu, lebih RM2.3 juta dibelanjakan oleh YBK untuk menyara kira-kira 240 orang penghuni Asrama Kasih dan Jambor Sakti yang terdiri daripada anak-anak yatim, fakir, miskin dan kurang berkemampuan.

20190101_081310

YBK menyara kira-kira 240 orang murid Asrama Kasih dan Jambor Sakti terdiri daripada anak-anak yatim, fakir, miskin dan kurang berkemampuan. — Facebook

Menjelaskan mengenai pemansuhan penyaluran bantuan tersebut, YBK berkata, pihaknya sangat terkilan dan kecewa dengan keputusan KPM untuk tidak lagi menyalurkan BMA kepada asrama kerajaan negeri/yayasan.

Menurutnya, keputusan itu jelas dibuat tanpa sebarang perbincangan atau sesi libat urus dengan asrama kerajaan negeri/yayasan yang terlibat.

"Pemansuhan BMA kepada asrama kerajaan negeri/yayasan ini tidak dimaklumkan kepada YBK melalui surat rasmi.

"Perkara itu hanya diketahui menerusi Surat Pekeliling Kewangan (SPK) Bil. 3 Tahun 2021 – Bantuan Persekolahan Khusus Asrama Kementerian Pendidikan yang menyatakan BMA tidak lagi disalurkan kepada murid KPM yang menghuni asrama di bawah kerajaan negeri/yayasan dan berkuat kuasa pada 1 Januari 2022," katanya.

Katanya lagi, pihak pengurusan YBK telah berhubung dengan KPM memohon penjelasan rasmi namun gagal mendapat jawapan memuaskan dan situasi tersebut sangat mengecewakan selain menggugat perancangan kewangan YBK untuk tahun ini.

"Hanya bantuan ‘one-off’ daripada Yayasan Genius yang diberikan sebagai ‘saguhati’ dengan nilai tidak seberapa dan masih tidak dapat menampung pembayaran kepada pembekal makanan yang tertangguh," katanya.

Mengulas lanjut, YBK berkata, meskipun KPM berhak untuk menentukan penyaluran peruntukan mengikut perancangan, pihaknya berpendapat tiada sebab untuk BMA itu dihadkan skopnya kepada sekolah asrama di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan sahaja.

Ini kerana katanya, KPM merupakan penerima peruntukan terbesar dalam belanjawan kerajaan.

"Perkara ini menyebabkan reputasi Menteri Pendidikan boleh dipersoalkan kerana beliau nampaknya tidak peduli dengan isu tersebut yang menafikan hak serta menjejaskan makan minum anak-anak yatim dan miskin di asrama kerajaan negeri/yayasan.

"Mereka juga belajar di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan, sekali gus patutKp mendapat hak yang sama sebagaimana anak-anak yang lain," katanya.

2016 Office Kelana Jaya (2)

YBK adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi sejak 1990 dengan perjuangan membasmi kemiskinan. — Facebook

Jelasnya, jika KPM kekal dengan keputusan bahawa tiada BMA untuk asrama kerajaan negeri/yayasan, maka YBK terpaksa mengambil langkah drastik termasuk menutup operasi Asrama Kasih bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung.

"Sekiranya hal ini berlaku, maka yang terkesan dan teraniaya adalah anak-anak yatim, fakir dan miskin yang menghuni asrama ini.

"Pihak kerajaan wajib melaksanakan tanggungjawab memastikan urusan pendidikan dan kebajikan anak-anak di sekolah terjaga dengan sempurna, termasuklah anak-anak yatim, fakir dan miskin.

"Membiarkan mereka dalam kelaparan walaupun kerajaan mempunyai kemampuan adalah satu kezaliman yang tidak boleh diterima," katanya.

Dalam perkembangan sama, YBK mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan agar BMA tidak perlu lagi dimohon setiap tahun oleh asrama kerajaan negeri dan yayasan.

Sebaliknya, kata YBK, mereka berhak menerima bantuan berterusan sebagaimana asrama-asrama Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan yang lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram