UMNO menggugurkan empat ahlinya yang didapati menjadi calon bertanding mewakili parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, empat ahli berkenaan ialah penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Maran) yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).
"Turut digugurkan keahlian ialah Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon Bebas bagi kawasan Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi serta Datuk Azhar Ahmad bagi DUN Kuala Perlis.
"Dengan pengguguran keahlian ini, jawatan mereka di peringkat Umno Bahagian akan dipangku oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian yang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ahmad berkata, pengguguran keahlian keempat-empat mereka itu selaras dengan Fasal 20.11 Perlembagaan Umno.
Jelasnya, Perlembagaan itu jelas menyebut, seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan dalam pilihan raya akan gugur keahlian dengan sendirinya.
"Umno juga ingin menegaskan, beberapa ahli lain termasuk mereka yang dilihat mengiringi empat calon berkenaan semasa proses penamaan calon yang boleh disifatkan sebagai menyokong calon parti lawan kini sedang dalam proses siasatan sebelum tindakan lanjut diambil," katanya.
Terdahulu, Umno menggugurkan beberapa pemimpin senior dalam usaha untuk menampilkan lebih ramai muka baharu dalam PRU15.
Selain Shahidan, antara pemimpin yang digugurkan ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Datuk Seri Adham Baba (Kota Tinggi) dan Datuk Halimah Mohamed Sadique (Tenggara). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram