PRU15: Tekanan luaran, domestik punca ringgit dijangka terus merudum


  • Bizz
  • Sabtu, 05 Nov 2022

Nilai mata wang negara terus menunjukkan penurunan kesan daripada pengaruh tekanan luar dan domestik.

NILAI ringgit dijangka terus terencat dan lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu hadapan akibat tekanan luaran dan faktor domestik.

Perkara itu disuarakan oleh Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit mungkin menuju ke paras 4.74-4.76, tertakluk kepada momentum dolar AS termasuk pengaruh faktor luaran yang akan memacu momentum mata wang pasaran sedang pesat membangun.

Secara amnya nilai mata wang negara akan terus berada di bawah tekanan.

"Minggu depan mungkin menyaksikan lebih banyak penyusutan nilai ringgit melainkan gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) malam ini berada di bawah unjuran.

"Tetapi yang lebih kritikal, peniaga pertukaran asing sedang menunggu indeks harga pengguna AS pada 10 November ini dengan harapan inflasi AS mungkin berkurangan dan pasaran kemudian menjangkakan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) menjadi lebih rendah yang kemudiannya, menguntungkan ringgit," katanya.

Innes ketika mengulas mengenai kesan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terhadap ringgit berkata mata wang tempatan itu akan bertindak balas secara negatif kerana ia cenderung lemah selepas pilihan raya dan dalam kes-kes tertentu sebahagiannya disebabkan keadaan ekonomi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pengundian bagi PRU15 akan diadakan menjelang 19 November, manakala tarikh penamaan calon pada 5 November yang membolehkan mereka berkempen selama dua minggu.

Secara mingguan, ringgit menyusut pada Jumaat berbanding dolar US kepada 4.7460/7495 daripada 4.7225/7275 yang disaksikan semasa minggu sebelumnya.

Berbanding sekumpulan mata wang utama, ringgit diniagakan bercampur-campur dari Jumaat hingga Jumaat.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3517/3546 daripada 3.3436/3474 dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.2111/2137 daripada 3.1976/2012.

ringgit menokok berbanding pound British kepada 5.3231/3270 daripada 5.4455/4513 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6383/6417 daripada 4.7008/7058. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram