KEMENTERIAN Luar Negeri (KLN) akan terus mempergiatkan usaha membawa pulang rakyat tempatan yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara khususnya di Kemboja.
Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pihaknya akan berhubung dengan kedutaan Malaysia di Phnom Penh, Kemboja bagi mendapatkan maklumat dan mengenal pasti kedudukan mangsa.
"Kita sentiasa memantau dan membantu untuk memastikan supaya memperoleh info sahih agar memudahkan usaha mengesan mangsa.
"Setelah lokasi mangsa dapat dikesan, kita akan teruskan langkah menyelamat untuk kita keluarkan mereka dari negara ini dan membawa mereka pulang ke tanah air," katanya ketika ditemui di Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Pada 16 September lepas, seramai 11 lagi rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja telah selamat pulang ke tanah air, menjadikan seramai 123 daripada 153 orang mangsa sindiket penipuan tersebut berjaya diselamatkan setakat ini.
Kamarudin beramah mesra dengan peserta kejohanan bola sepak.
Mengulas lanjut, Kamarudin menasihatkan agar rakyat tidak panik atau menokok tambah cerita sehingga mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat.
Perkara tersebut katanya, secara tidak langsung akan menjejaskan usaha kerajaan dengan negara luar untuk melakukan usaha menyelamat mangsa.
"Jangan memberikan gambaran perkara itu terlalu teruk atau sebagainya sehingga mengelirukan masyarakat.
"Ini mungkin memberikan gambaran terlalu buruk yang mana kita perlukan kerjasama dengan negara luar itu untuk menjalankan usaha menyelamat supaya mereka memberikan maklumat tepat untuk membawa pulang semula rakyat kita," jelasnya.
KLN sebelum ini mewujudkan satu Jawatankuasa Khas menerusi keputusan Mesyuarat Jemaat Menteri bagi menangani isu tersebut.
Untuk rekod, seramai 261 orang mangsa pemerdagangan manusia melibatkan rakyat Malaysia berjaya diselamatkan melibatkan 171 individu sudah dibawa balik, manakala 90 orang lagi masih menunggu proses penghantaran pulang setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram