Rumah sewa jauh, kos hidup naik terus bebani pelajar IPT


  • Massa
  • Jumaat, 14 Okt 2022

Lokasi kediaman yang jauh dari universiti dan ditambah dengan peningkatan kos sara hidup menyukarkan kehidupan pelajar.

KELUHAN demi keluhan yang bagaikan tiada kesudahan dihadapi pelajar tempatan yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam.

Bukan sahaja menyelesaikan tugasan dan terlibat dengan aktiviti kokurikulum, pelajar juga perlu memikirkan cara untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Perkara itu menjadi terbeban apabila pelajar tidak mendapat penempatan kolej dan terpaksa menyewa di luar kawasan universiti atau non residen (NR) sekali gus memerlukan perbelanjaan lebih seperti sewa rumah, bil utiliti dan menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Menerusi perkongsian pengguna Twitter yang dipercayai pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor, @Fadhlinadrianaa meluahkan rasa tidak puas hati apabila gagal mendapatkan penempatan di kolej. Dalam masa sama, pengurusan membenarkan pelajar untuk menetap di kolej bagi pelajar yang membuat permohonan secara walk-in.

majoriti2022 (1)

Tangkap layar perkongsian @Fadhlinadrianaa mengenai rasa tidak puas hati sistem penempatan, pengangkutan dan peningkatan kos sara hidup.

“Agak menjengkelkan dengan sistem UiTM seperti ini. Kenapa tolak permohonan kolej awalnya jika akan menerima permohonan mereka yang pergi walk in?

“Kenapa tidak boleh terima sahaja semua permohonan berbanding perlu menyusahkan pelajar NR yang perlu berhadapan dengan rakan serumah yang tarik diri di peringkat akhir.

“Masing-masing kena letakkan lagi tambahan untuk bayaran wang deposit dan sewa. Ingat duit jatuh dari langit?” terangnya di Twitter.

Dalam pada itu, dia turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan pengangkutan awam yang tidak meliputi keseluruhan kawasan seperti Saujana Utama, Alam Jaya, Alam Perdana, Eco Grandeur, Pusat Perdagangan Hillpark dan Hillpark.

Kenaikan harga barang yang tentu sahaja menjejaskan kos sara hidup pelajar.

Fe_dz9UVQAI7507

Jadual perjalanan perkhidmatan bas Rapid UiTM untuk pelajar NR.

“Makan, bil air, bil elektrik. Pengangkutan. Ingat semua pelajar NR mampu ada kereta sendiri atau naik e-hailing hari-hari pergi kelas.

“Kami boleh menerima jika menaiki bas, tetapi perkhimatan bas Rapid UiTM hanya buka satu kawasan saja.

“Saya mengharapkan agar perkara ini dapat diselesaikan selepas cuti perayaan Deepavali (24 Oktober) kerana kos menggunakan e-hailing bukan murah.

“Sekurang-kurangnya RM20 satu hari untuk ulang alik rumah sewa ke universiti setiap hari. Seminggu sudah mencecah RM100,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pelajar didakwa terpaksa membuat pinjaman Ahlong kerana kesempitan wang disebabkan gagal mendapat asrama.

Kos bayaran wang pendahuluan yang tinggi bukan sekadar membeban pelajar, malah perkara itu turut memberi kesan kepada ibu bapa dan keluarga khususnya golongan B40. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram