MetMalaysia keluarkan amaran monsun awal


  • Primer
  • Khamis, 03 Nov 2022

Hujan lebat berterusan yang berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar meningkatkan risiko kejadian banjir.

MALAYSIA akan mengalami Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh lebih awal daripada yang dijangka iaitu pada Isnin (7 November) dan berterusan sehingga Mac depan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, sekurang-kurangnya empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan berpotensi berlaku sepanjang tempoh lima bulan itu.

"Seperti musim-musim yang lalu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

"Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir boleh meningkat,” kata kenyataan itu.

MetMalaysia turut menjangkakan kejadian air pasang besar berlaku bermula pada 6 hingga 11 November dan 22 hingga 27 November, disusuli 7 hingga 12 Disember dan 22 hingga 26 Disember, serta 6 hingga 10 Januari 2023 dan 21 hingga 25 Januari 2023.

Semasa MTL itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan semua media sosial MetMalaysia.

Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram