Tiga lelaki termasuk 2 warga Iran terlepas hukuman gantung


Mahkamah Rayuan pada Khamis melepas dan membebaskan seorang lelaki warga tempatan atas kesalahan mengedar dadah.

TIGA lelaki termasuk dua warga Iran terlepas hukuman gantung kerana mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 20.89 kilogram (kg) di sebuah pusat ternakan ikan di Behrang Stesen, Tanjong Malim, Selangor enam tahun lalu.

Mahkamah Rayuan pada Khamis melepas dan membebaskan seorang pekerja perkhidmatan tunda kenderaan, M. Dinesh, 28, selepas mendapati wujud percanggahan material tentang keberadaan Dinesh bersama warga Iran tersebut di dalam kabin kontena, tempat dadah tersebut ditemukan.

Panel tiga hakim yang dketuai Datuk Hanipah Farikullah, sebaliknya, menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 18 tahun dan 10 sebatan terhadap warga Iran, Shervin Khoshhal Sarvandani, 30, dan Mohammad Mahdi Tyhim Nazlo, 32, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah.

"Hukuman penjara bermula tarikh tangkapan pada 15 Jun 2016,” katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah.

Terdahulu,Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee, memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara menerima representasi oleh Shervin Khoshhal dan Mohammad Mahdi untuk mengurangkan pertuduhan daripada mengedar kepada pemilikan dadah.

Menurut kes pendakwaan, polis atas maklumat mengenai aktiviti memproses dadah, menahan ketiga-tiga lelaki tersebut di dalam sebuah kabin kontena di pusat ternakan ikan di Behrang Stesen.

Ketiga-tiga mereka dijatuhkan hukuman mati selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Oktober 2019 kerana mengedar dadah itu di Lot 3580, Pusat Ternakan Ikan, Jalan Behrang Ulu, Kampung Chenein, Behrang Stesen, Perak pada pukul 4.30 pagi, 15 Jun 2016.

Dinesh diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi manakala peguam Kitson Foong dan Michelle Liu mewakili kedua-dua warga Iran tersebut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram