PEMIMPIN Barisan Nasional (BN) didakwa meluahkan minat mereka untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara tersebut disuarakan oleh Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang turut memberitahu permohonan mereka dalam proses sebelum diumumkan pada hari penamaan calon pada Sabtu.
“Tak boleh sebut berapa kerusi. Yang penting ada di utara, ada di tengah, ada di selatan,” katanya dalam sidang media selepas Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15 di Rusila, Terengganu pada Khamis.
Ditanya mengenai pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang akan mempertahankan kerusia Parlimen Arau atas tiket PN, Abdul Hadi berkata Shahidan bersama dengan PAS sejak di Parlimen dan beliau seorang yang berani mengkritik pimpinan Umno.
"Selain Shahidan, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib juga diumum akan mempertahankan Parlimen Maran sebagai calon PN.
"Shahidan dan Ismail adalah antara menteri dan timbalan menteri Kabinet BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang digugurkan sebagai calon BN pada PRU15," ujarnya.
Rundingan di peringkat parti mengenai calon daripada BN yang akan mewakili PN telah dibincangkan di peringkat pimpinan PAS dan PN, serta ia diterima sebulat suara.
Abdul Hadi turut mendedahkan bakal calon daripada PN yang disenaraikan juga menarik diri secara sukarela bagi memberi laluan kepada pemimpin BN tersebut. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram