PENYANYI dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman kelihatan ceria dan bersemangat walaupun tiada selera makan ketika ditemui peguamnya di penjara pada Rabu.
Peguam bela penyanyi itu, Ariff Azami Hussein berkata, Yasin yang sedang berdepan dengan kes dadah masih ditempatkan di sel berasingan ekoran masalah kesihatannya.
"Yasin ceria dan bersemangat ketika saya berjumpanya pada Rabu. Keluarga penyanyi itu juga masih melawatnya setiap minggu.
"Layanan pihak penjara dan polis terhadap Yasin pun tiada isu langsung. Kami dan keluarga menghargai layanan terbaik diberikan oleh mereka.
"Macam Yasin cakap, penjara adalah penjara dan kita doakan yang terbaik untuk dia," katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen menangguhkan keputusan representasi bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah dihadapi penyanyi nasyid dan komposer itu ke 15 Disember depan.
Hakim, Jamaludin Mat menetapkan tarikh baharu itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan masih memerlukan masa untuk membuat keputusan berkenaan.
Dalam pada itu, Yasin memberitahu yang dia optimis pihak pendakwaan akan membuat keputusan terbaik berhubung representasi tiga pertuduhan kes yang dihadapinya.
"Representasi itu setebal 47 muka surat yang turut mengandungi dokumen melibatkan tahap kesihatan dan keperluan rawatan.
"Pihak pendakwaan sedang meneliti representasi itu untuk membuat keputusan. Saya optimis dengan sifat kemanusiaan mereka, Insya-Allah," katanya.
Untuk rekod, penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di pejabat narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor pada 24 Mac lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, Selangor pada hari sama.
Pertuduhan memiliki dadah adalah mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama, yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram