[VIDEO] Buat ‘live’ TikTok semasa bedah, doktor dikecam langgar privasi pesakit


  • Benua
  • Khamis, 03 Nov 2022

Tangkap layar rakaman siaran langsung di TikTok dengan mempersoalkan kewajaran doktor tersebut membuat siaran langsung semasa bedah pesakit.

SEORANG doktor di Thailand dikecam ramai selepas didakwa membuat siaran langsung di TikTok ketika sedang melakukan pembedahan di sebuah bilik bedah pada Selasa, lapor portal The Thaiger.

Difahamkan, Majlis Perubatan Thailand buat masa ini sedang mencari identiti doktor itu kerana disyaki melanggar undang-undang yang ditetapkan.

Seorang pengguna media sosial berkongsi tangkap layar rakaman siaran langsung itu di Twitter dengan mempersoalkan kewajaran doktor tersebut membuat siaran langsung semasa bedah pesakit.

“Seminit lalu, seorang doktor membuat siaran langsung semasa menguruskan pesakit di TikTok. Adakah ini sesuai?” katanya menerusi kapsyen pada perkongsian itu.

Sementara itu, pengguna lain juga turut tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh doktor terbabit dan menganggap dia sudah melanggar privasi pesakit.

Walau bagaimanapun, tangkap layar rakaman itu mendedahkan pembedahan dilakukan pada pukul 3 pagi dan ada yang membuat spekulasi bahawa ia merupakan operasi kecemasan.

Dalam pada itu, Setiausaha Tetap Majlis Perubatan Thailand, Ittaporn Kanacharoen, memuat naik satu hantaran di Facebook bahawa pihaknya menyedari isu tersebut.

Menurut beliau, pihaknya akan menyiasat kes itu dan mengenakan tindakan tatatertib terhadap doktor terbabit mengikut Akta Profesion Perubatan Thailand.

Ittaporn turut menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai doktor itu di Facebook dan berkata, sekiranya melakukan siaran langsung melibatkan pesakit, doktor harus mendapatkan kebenaran mereka terlebih dahulu.

“Video yang dibuat haruslah tidak melanggar hak orang lain terutamanya pesakit. Doktor itu mesti membuktikan bahawa orang yang berkaitan dan pusat perubatan sebeluat suara bersetuju untuk dipaparkan di video itu.

“Saya mengesyorkan setiap doktor untuk ketahui lebih lanjut tentang undang-undang. Jika ada apa-apa yang tidak jelas, mereka boleh menyemak dengan majlis,” jelasnya.Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram